10 Jul 2011


TEKA-teki panjang mengenai jumlah pasukan, siapa dinaikkan dan siapa diturunkan dalam format baru pertandingan serta aksi pemain import dalam Liga Malaysia musim depan, bakal terjawab dalam mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif (Exco) Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada 12 Julai ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM, Datuk Hamidin Amin berkata, segala keputusan dijamin akan mengambil iktibar dan bermatlamatkan untuk mengatasi masalah yang timbul akibat jadual padat liga musim ini dengan Piala Malaysia, September depan akan menjadi titik tolak awal komitmen persatuan.
“Saya akui memang ada sedikit kelemahan di pihak jawatankuasa ini bagi musim ini, tetapi kami berjanji akan mengambil iktibarnya demi menambah baik liga musim depan,” katanya yang juga ahli Exco dan Naib Presiden FAM selepas majlis penyampaian hadiah kemenangan Liga Super dan Perdana 2011 di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.
Antara persoalan yang kerap dicetuskan pasukan dan persatuan bola sepak negeri ialah sama ada pasukan di tempat ke-13 dan 14 Liga Super musim ini, Pahang dan Perlis bakal diturunkan ke Liga Perdana musim depan lalu digantikan juara dan naib juaranya, PKNS dan Sarawak atau mungkinkah perlawanan penentuan tempat itu dilangsungkan sesama mereka.
Soal kepulangan pemain import yang kali terakhir disaksikan dalam Liga M 2007-2008, bagi musim 2012 turut menjadi agenda penting mesyuarat Exco yang dijangka dipengerusikan Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah memandangkan pada pandangan Timbalan Presidennya, Tan Sri Annuar Musa, mereka mampu menjadi pelaris tiket atau penggalak kehadiran penonton ke stadium.
Annuar, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Malaysia Super League pernah menyarankan pengambilan semula pemain import malah Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) yang diterajuinya, sudah berkira-kira untuk mendapatkan khidmat mereka dengan wawasan lebih jauh sebagai persediaan ke Piala AFC 2012 selaku juara Liga Super musim ini.
Sementara itu, kata Hamidin, ekoran pemergian Harimau Muda A ke Slovakia bagi siri persahabatan sebagai persediaan pusingan akhir Kelayakan Olimpik 2014, Pahang dan Sime Darby dipilih untuk berentap secara timbal balik bagi mengisi kekosongan satu tempat skuad bawah 22 tahun negara itu dalam persaingan Piala Malaysia, September depan.
“Piala Malaysia terhad kepada 12 pasukan terbaik Liga Super dan empat terbaik Perdana. Tanpa Harimau Muda A, Pahang dan Sime Darby yang masing-masing menduduki tempat ke-13 Super dan kelima Perdana, akan menentukan slot terakhir Piala Malaysia di Kuala Lumpur, 19 Julai dan Kuantan, 22 Julai,” jelasnya.
Majlis penyampaian hadiah kemenangan berupa piala dan pingat semalam turut menyaksikan Kelantan selaku juara Liga Super mengaut ganjaran RM500,000; naib juara Terengganu dengan RM300,000 dan pemenang ketiga, Selangor RM200,000 sementara PDRM di tempat ketiga Perdana, RM50,000.
Penyerang Terengganu dan kebangsaan, Abdul Hadi Yahya pula menerima anugerah Kasut Emas Liga Super 2011 selaku penjaring terbanyak dengan 20 gol sementara Mohd. Fitri Omar dari Majlis Perbandaran Muar meraihnya bagi Liga Perdana dengan menjaringkan 19 gol sepanjang musim ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

TERIMA KASIH